Wednesday, November 3, 2010

Aplikasi Seni Dalam Pengajaran

Seperti yang kita sedia maklum pada hari ini, di sekolah pada masa kini tidak kira sekolah rendah mahupun sekolah menengah telah dimasukkan pengajaran matapelajaran seni. Seni dalam pendidikan atau pengajaran lebih dikenali sebagai (SDP) yang diwujudakan bagi membantu perkembangan yang seimbang individu itu dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang turut sama ingin mewujudkan insan yang seimbang dari aspek yang sama. Selain itu, ianya juga bermatlamat untuk menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan dan juga kemahiran untuk mengintegrasikan aktiviti seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam matapelajaran yang lain. Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen yang dimaksudkan ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik. Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan merangkumi penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti. Dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengarinya.
            Menurut Dr. Sharifah Norul Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan di rujuk sebagai “3R” iaitu membaca, menulis dan mengira. Penggunaan huruf, “R” adalah satu perkataan yang sesuai digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Seni perlu dijadikan “R” keempat atau literasi asas kerana Seni dalam Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Ketiga-tiga elemen tadi jika diaplikasikan dalam pengajaran guru, hasil yang diperolehi adalah proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sempurna. Hal ini kerana, pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabung jalin pelbagai unsur seni yang mana ianya berbeza dari kaedah pengajaran yang turun-temurun berkonsepkan pengajaran meggunakan kapur dan papan tulis sebagai media menjadikan murid-murid merasa bosan, sekiranya penyampaian maklumat samaada nyanyian melalui seni muzik dapat menjadikan murid berasa lebih seronok untuk belajar. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar. Hal ini kerana, guru mengajar dengan menggunakan kaedah penyampaian isi pelajaran melalui nyanyian dan sebagainya.
            Warna, irama dan juga pergerakan merupakan elemen yang senantiasa wujud di sekeliling murid-murid. Melalui kewujudan unsur-unsur ini, murid-murid dapat mempelajari sesuatu yang baru disekeliling mereka dengan lebih seronok dan lebih berkesan. Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan sesuatu corak yang berulang, susunan sekata yang mewujudkan pergerakan. Kanak-kanak akan mula memahami dan belajar sesuatu kemahiran dalam irama sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat meransang minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan. Tanpa kehadiran muzik yakni irama, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran Irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sesuatu aktviti dengan lebih seronok dan bersemangat. Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktviti seperti melompat sambil mengikut irama muzik. Mereka juga akan meneroka pergerakan-pergerakan yang lebih kreatif dan menarik apabila wujudnya tindakbalas kanak-kanak tersebut dengan muzik atau irama yang mereka dengar. Ruang juga merupakan elemen dalam matapelajaran Seni Dalam Pendidikan. Ruang dapat didefinisikan sebagai kawasan yang terletak di sekeliling sesuatu objek atau dengan kata lain jarak antara dua objek. Menurut Howard Gardner ( 1983 ), kecerdasan ruang melibatkan kebolehan-kebolehan melihat dunia “ visual spatial” dengan lebih tepat. Bilik darjah perlu disusun dengan baik bagi memastikan terdapat ruang yang cukup untuk guru dan juga pelajar melakukan aktiviti dengan selamat, selesa dan berkesan. Ini secara tidak langsung membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif dan seterusnya mencapai matlamat pnp tersebut.
            Selain itu, guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan pelajaran dengan menumpukan kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertentu dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Aplikasi seni dalam pengajaran sebenarnya memberi peluang kepada murid-murid untuk meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh, bergerak dan berfikir dalam setiap aktviti pembelajaran yang mereka lakukan. Melalui cara ini, secara tidak langsung, ia mengajar murid untuk menangani menguruskan sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi dengan lebih efektif dan proaktif. Kanak-kanak di sekolah rendah belajar dalam suasana yang aktif. Mereka membina pengetahuan secara aktif. meneroka pergerakan-pergerakan yang lebih kreatif dan menarik apabila wujudnya tindakbalas kanak-kanak tersebut dengan muzik atau irama yang mereka dengar. Pembelajaran secara aktif dan juga melibatkan interaksi sosial amatlah digalakkan. Melalui aktiviti yang dilakukan seperti meneroka, membuat eksperimen dan mengolah bahan, murid akan memperoleh pengalaman yang baru. Pengalaman tersebut akan kekal kerana mereka meneroka sendiri dan menggunakan pencaindera mereka untuk menilai apa yang dilakukan. Oleh itu, melalui aktiviti seni, kanak-kanak boleh meluahkan idea atau perasaan mereka yakni emosi secara bebas dan kreatif.
            Guru matapelajaran hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran- kemahiran yang diperlukan. Perancangan aktiviti juga perlu diberi tumpuan demi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan berkesan. Guru hendaklah memainkan peranan dengan menggalakkan murid menggunakan sepenuhnya kelebihan diri mereka disamping guru menyediakan pelbagai aktiviti yang meransang minat kanak-kanak dan memenuhi keperluan murid-murid yang mempunyai kepelbagaian gaya belajar. Tiga unsur dalam Seni Dalam Pengajaran iaitu seni visual, muzik dan juga pergerakan perlulah digabungkan dengan semaksimum mungkin bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan dan kreatif. Guru perlulah mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk menggunakan warna dengan baik, memasukkan elemen-elemen irama dan dalam masa yang sama menggunakan ruang yang sesuai bagi meransang minda murid-murid sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui kaedah tersebut iaitu gabungan elemen seni dalam pendidikan, murid akan berasa seronok dan gembira serta melakukan aktiviti dengan lebih aktif. Mereka tidak terikat dengan cara atau teknik pengajaran yang lama dimana ianya lebih berpusatkan kepada guru.
            Pengajaran dalam bilik darjah boleh dilaksanakan dengan mengaitkan mata pelajaran tertentu dengan unsur warna, irama, pergerakan. Contohnya, matapelajaran sains guru akan mengajar tajuk haiwan iaitu haiwan liar. Guru boleh membawa murid-murid ke ZOO Negara. Seterusnya murid-murid menjalani proses memerhati, membuat catatan tentang ciri-ciri binatang yang dilihat dari aspek warna, tubuh badan, saiz dan sebagainya. Selain murid-murid juga boleh melukis rupa bentuk binatang yang mereka lihat. Kebebasan perlulah diberikan kepada murid untuk mereka menggunakan warna dan mencampurkan untuk mendapatkan hasil yang menarik dan kreatif. Guru boleh mengarahkan murid untuk membentang hasil yang diperolehi. Pembentangan boleh dilakukan secara berkumpulan. Setiap kumpulan boleh menggunakan setiap ruang yang ada dalam kelas dengan semaksimum mungkin dan menjalinkan bersama kreativiti mereka bagi menjadikan pembentangan tersebut menarik dan kreatif. Seterusnya setiap kumpulan akan membuat persembahan seperti menyanyi dan juga menari lagu yang berkaitan dengan haiwan yang telah mereka kaji. Mereka boleh membuat pergerakan dan bunyi haiwan yang telah mereka kaji. Perbincangan antara ahli kumpulan perlu dilakukan untuk menghasilkan satu bentuk persembahan yang menarik dan kreatif.
Secara umumnya, aplikasi seni dalam pengajaran merupakan suatu kaedah yang seharusnya dikuasai oleh semua guru untuk memberikan pemahaman yang berkesan kepada murid-muridnya. Degan kaedah yang dilaksanakan dalam mata pelajaran murid-murid yang memperolehi ilmu baru akan merasa seronok dan tidak bosan kerana semua perkara seperti keindahan, keceriaan, muzik melalui bunyi-bunyian yang dihasilkan dapat memberikan pelajar tidak tertekan dengan isi pelajaran yang diajar oleh guru. Walaubagaimanapun guru seharusnya mengetahui peranannya sendiri, guru bukan sahaja memberikan ilmu baru kepada murid-muridnya malah guru seharusnya meningkatkan motivasi pelajar melalui kekreatifan yang sedia ada untuk menarik minat murid-muridnya terhadap subjek yang diajar. Kekreatifan seseorang guru tersebut dalam menurun ilmu pengetahuannya kepada murud-muridnya perlu diambil kira untuk menjamin masa depan masyarakat dan Negara.

No comments:

Post a Comment