Wednesday, November 3, 2010

ANYAMAN

BULUH

Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Buluh yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan buluh sembilang. Bagi masyarakat peribumi di nusantara, buluh mempunyai seribu satu kegunaan iaitu sebagai baur kail atau joran, baur panah, bekas membakar lemang, bilah kipas, bilah serkap, galah, pagar, ranting dan batang payung, rakit, sangkak, seligi, sigai, sudip, tabung, tuar, tukil dan sebagainya. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.

Memproses Bahan

Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang dipilih dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Berikut adalah langkah memproses buluh :

Merendam

Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air asam dan air selut selama seminggu. Tetapi kini cara yang lebih mudah digunakan ialah buluh itu direbus bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan kandungan gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan lebih lama. Dari segi rupa pula, buluh yang telah direndam sedemikian dianggap lebih cantik dan menarik walaupun berbau masam.
Bakul buluh

Menyalai 

Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah, disepat (memisahkan kulit daripada isi batang pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi batang yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam anyaman. Bilah bahagian kulit buluh lebih keras dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan bilah isi. Oleh itu, bilah bahagian kulit lebih sesuai dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam pembuatan nyiru, misalnya, bilah kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.

Anyaman Rotan

Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.

Memproses Bahan

Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk. Rotan yang siap direbus, dijemur hingga kering. Seterusnya, rotan batang yang ingin dijadikan kerangka perabot diketam dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis. Sementara rotan yang mahu dijadikan bilah anyaman terus divarnis sebelum disepat atau dibelah.

Menghasilkan bakul



Anyaman Ribu-Ribu

Anyaman ribu-ribu Ribu -ribu adalah sejenis paku-pakis yang hidup liar terutama di kawasan belukar yang lembap. Terdapat beberapa jenis ribu-ribu iaitu ribu-ribu biasa, ribu-ribu besar/gajah dan ribu-ribu bukit/duduk atau akar sidin. Kegunaan utama ribu-ribu pada masa dahulu ialah sebagai bahan untuk dijadikan tali. Banyak rumah di Terengganu misalnya menggunakan tali ribu-ribu sebagai pengikat rabung kerana tali jenis ini tahan lama. Tetapi kini kegunaan ribu-ribu hampir terbatas kepada hasil kraftangan sahaja. Barang-barang yang diperbuat daripada ribu-ribu termasuk terendak, bekas tembakau, bekas sirih dan dompet.


Memproses Bahan



Ribu-ribu dipotong di bahagian pangkalnya. Cuma rakis utama yang diambil, yang lurus atau yang menjalar. Cabang-cabang yang tidak diperlukan, dipotong dengan pisau kecil. Kemudian ribu-ribu dibelah dua dan dikeringkan perlahan-lahan dengan menyidainya di tempat yang redup selama beberapa hari. Ini dilakukan untuk memastikan ribu-ribu tidak rapuh atau mudah patah. Menganyam ribu-ribu sama seperti menganyam buluh dan mengkuang. Untuk mengukuhkan anyaman, biasanya buluh atau rotan digunakan sebagai tulang atau kerangka barang yang dihasilkan. Motif-motif yang kerap digunakan dalam anyaman ribu-ribu ialah siku keluang, bentuk jaluran dan bentuk-bentuk geometri. Biasanya, barang-barang yang dianyam mengekalkan warna asli ribu-ribu. Bagaimanapun, perbezaan warna boleh dihasilkan iaitu dengan menyelang-nyelikan warna luar kulit yang lebih gelap iaitu coklat tua, dengan warna dalam kulit, coklat muda. Rata-rata, kraftangan ribu-ribu kini semakin terabai, kecuali di kalangan penduduk Sabah, terutama di sekitar Kampung Inukiran dan Kampung Tinanggol di daerah Kudat.
Menjalin dengan teliti







Aplikasi Seni Dalam Pengajaran

Seperti yang kita sedia maklum pada hari ini, di sekolah pada masa kini tidak kira sekolah rendah mahupun sekolah menengah telah dimasukkan pengajaran matapelajaran seni. Seni dalam pendidikan atau pengajaran lebih dikenali sebagai (SDP) yang diwujudakan bagi membantu perkembangan yang seimbang individu itu dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang turut sama ingin mewujudkan insan yang seimbang dari aspek yang sama. Selain itu, ianya juga bermatlamat untuk menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan dan juga kemahiran untuk mengintegrasikan aktiviti seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam matapelajaran yang lain. Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu yang baru dan ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen yang dimaksudkan ialah seni visual, seni pergerakan dan juga seni muzik. Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan merangkumi penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti. Dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengarinya.
            Menurut Dr. Sharifah Norul Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan di rujuk sebagai “3R” iaitu membaca, menulis dan mengira. Penggunaan huruf, “R” adalah satu perkataan yang sesuai digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Seni perlu dijadikan “R” keempat atau literasi asas kerana Seni dalam Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Ketiga-tiga elemen tadi jika diaplikasikan dalam pengajaran guru, hasil yang diperolehi adalah proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sempurna. Hal ini kerana, pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabung jalin pelbagai unsur seni yang mana ianya berbeza dari kaedah pengajaran yang turun-temurun berkonsepkan pengajaran meggunakan kapur dan papan tulis sebagai media menjadikan murid-murid merasa bosan, sekiranya penyampaian maklumat samaada nyanyian melalui seni muzik dapat menjadikan murid berasa lebih seronok untuk belajar. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar. Hal ini kerana, guru mengajar dengan menggunakan kaedah penyampaian isi pelajaran melalui nyanyian dan sebagainya.
            Warna, irama dan juga pergerakan merupakan elemen yang senantiasa wujud di sekeliling murid-murid. Melalui kewujudan unsur-unsur ini, murid-murid dapat mempelajari sesuatu yang baru disekeliling mereka dengan lebih seronok dan lebih berkesan. Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan sesuatu corak yang berulang, susunan sekata yang mewujudkan pergerakan. Kanak-kanak akan mula memahami dan belajar sesuatu kemahiran dalam irama sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat meransang minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan. Tanpa kehadiran muzik yakni irama, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran Irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sesuatu aktviti dengan lebih seronok dan bersemangat. Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktviti seperti melompat sambil mengikut irama muzik. Mereka juga akan meneroka pergerakan-pergerakan yang lebih kreatif dan menarik apabila wujudnya tindakbalas kanak-kanak tersebut dengan muzik atau irama yang mereka dengar. Ruang juga merupakan elemen dalam matapelajaran Seni Dalam Pendidikan. Ruang dapat didefinisikan sebagai kawasan yang terletak di sekeliling sesuatu objek atau dengan kata lain jarak antara dua objek. Menurut Howard Gardner ( 1983 ), kecerdasan ruang melibatkan kebolehan-kebolehan melihat dunia “ visual spatial” dengan lebih tepat. Bilik darjah perlu disusun dengan baik bagi memastikan terdapat ruang yang cukup untuk guru dan juga pelajar melakukan aktiviti dengan selamat, selesa dan berkesan. Ini secara tidak langsung membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif dan seterusnya mencapai matlamat pnp tersebut.
            Selain itu, guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan pelajaran dengan menumpukan kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertentu dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Aplikasi seni dalam pengajaran sebenarnya memberi peluang kepada murid-murid untuk meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh, bergerak dan berfikir dalam setiap aktviti pembelajaran yang mereka lakukan. Melalui cara ini, secara tidak langsung, ia mengajar murid untuk menangani menguruskan sumber imaginasi, kreativiti, pemikiran, serta emosi dengan lebih efektif dan proaktif. Kanak-kanak di sekolah rendah belajar dalam suasana yang aktif. Mereka membina pengetahuan secara aktif. meneroka pergerakan-pergerakan yang lebih kreatif dan menarik apabila wujudnya tindakbalas kanak-kanak tersebut dengan muzik atau irama yang mereka dengar. Pembelajaran secara aktif dan juga melibatkan interaksi sosial amatlah digalakkan. Melalui aktiviti yang dilakukan seperti meneroka, membuat eksperimen dan mengolah bahan, murid akan memperoleh pengalaman yang baru. Pengalaman tersebut akan kekal kerana mereka meneroka sendiri dan menggunakan pencaindera mereka untuk menilai apa yang dilakukan. Oleh itu, melalui aktiviti seni, kanak-kanak boleh meluahkan idea atau perasaan mereka yakni emosi secara bebas dan kreatif.
            Guru matapelajaran hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran- kemahiran yang diperlukan. Perancangan aktiviti juga perlu diberi tumpuan demi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan berkesan. Guru hendaklah memainkan peranan dengan menggalakkan murid menggunakan sepenuhnya kelebihan diri mereka disamping guru menyediakan pelbagai aktiviti yang meransang minat kanak-kanak dan memenuhi keperluan murid-murid yang mempunyai kepelbagaian gaya belajar. Tiga unsur dalam Seni Dalam Pengajaran iaitu seni visual, muzik dan juga pergerakan perlulah digabungkan dengan semaksimum mungkin bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan dan kreatif. Guru perlulah mempunyai pengetahuan tentang bagaimana untuk menggunakan warna dengan baik, memasukkan elemen-elemen irama dan dalam masa yang sama menggunakan ruang yang sesuai bagi meransang minda murid-murid sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui kaedah tersebut iaitu gabungan elemen seni dalam pendidikan, murid akan berasa seronok dan gembira serta melakukan aktiviti dengan lebih aktif. Mereka tidak terikat dengan cara atau teknik pengajaran yang lama dimana ianya lebih berpusatkan kepada guru.
            Pengajaran dalam bilik darjah boleh dilaksanakan dengan mengaitkan mata pelajaran tertentu dengan unsur warna, irama, pergerakan. Contohnya, matapelajaran sains guru akan mengajar tajuk haiwan iaitu haiwan liar. Guru boleh membawa murid-murid ke ZOO Negara. Seterusnya murid-murid menjalani proses memerhati, membuat catatan tentang ciri-ciri binatang yang dilihat dari aspek warna, tubuh badan, saiz dan sebagainya. Selain murid-murid juga boleh melukis rupa bentuk binatang yang mereka lihat. Kebebasan perlulah diberikan kepada murid untuk mereka menggunakan warna dan mencampurkan untuk mendapatkan hasil yang menarik dan kreatif. Guru boleh mengarahkan murid untuk membentang hasil yang diperolehi. Pembentangan boleh dilakukan secara berkumpulan. Setiap kumpulan boleh menggunakan setiap ruang yang ada dalam kelas dengan semaksimum mungkin dan menjalinkan bersama kreativiti mereka bagi menjadikan pembentangan tersebut menarik dan kreatif. Seterusnya setiap kumpulan akan membuat persembahan seperti menyanyi dan juga menari lagu yang berkaitan dengan haiwan yang telah mereka kaji. Mereka boleh membuat pergerakan dan bunyi haiwan yang telah mereka kaji. Perbincangan antara ahli kumpulan perlu dilakukan untuk menghasilkan satu bentuk persembahan yang menarik dan kreatif.
Secara umumnya, aplikasi seni dalam pengajaran merupakan suatu kaedah yang seharusnya dikuasai oleh semua guru untuk memberikan pemahaman yang berkesan kepada murid-muridnya. Degan kaedah yang dilaksanakan dalam mata pelajaran murid-murid yang memperolehi ilmu baru akan merasa seronok dan tidak bosan kerana semua perkara seperti keindahan, keceriaan, muzik melalui bunyi-bunyian yang dihasilkan dapat memberikan pelajar tidak tertekan dengan isi pelajaran yang diajar oleh guru. Walaubagaimanapun guru seharusnya mengetahui peranannya sendiri, guru bukan sahaja memberikan ilmu baru kepada murid-muridnya malah guru seharusnya meningkatkan motivasi pelajar melalui kekreatifan yang sedia ada untuk menarik minat murid-muridnya terhadap subjek yang diajar. Kekreatifan seseorang guru tersebut dalam menurun ilmu pengetahuannya kepada murud-muridnya perlu diambil kira untuk menjamin masa depan masyarakat dan Negara.

Tuesday, November 2, 2010

TEKAT

Pengenalan






Seni tekat termasuk dalam jenis tekstil yang dihasilkan dengan cara menyulam benang emas ke atas kain dasar jenis baldu. Tekat menekat ini juga disebut 'sulaman timbul' atau 'suji timbul'. Asal usul penciptaan dan penggunaan tekstil tekat dianggarkan sama dengan penggunaan tekstil songket berdasarkan kepada bahan asasnya iaitu benang emas, kain baldu dan juga rupabentuk ciptaannya. Di Malaysia, pusat-pusat seni tekat berkembang di negeri Perak, Pahang dan Johor.

Motif dan Rupabentuk

Motif tumbuh-tumbuhan dan motif geometri. Rupabentuk tekatan terbahagi kepada dua iaitu dua dimensi dan tiga dimensi. Rupabentuk dua dimensi ialah seperti tikar, kipas dan penyangkut kelambu, selempang dan tetampan (Lapik dulang). Rupabentuk tiga dimensi pula seperti tepak sirih, sarung bantal, kusyen, kasut dan tudung saji. Tudung saji dibentuk tiga segi (kon) berongga. Bahagian yang dihias ialah bahagian luar dari puncak hingga ke tapaknya. Acuannya dibuat daripada daun nipah atau rumbia yang diikat dengan rotan atau buluh.

Tekat bermotifkan flora







Proses Pembuatan






Bahan asas penting untuk mencipta tekat ialah benang emas, benang putih dan kain dasar dari jenis kain baldu. Di samping itu terdapat juga bahan dari rotan sega, kertas tebal dan kanji (gam) yang digunakan untuk mempulur. Penggunaan mempulur akan menjadikan bentuk sulaman timbul.

Proses pertama ialah membentuk empulur. Bentuk motif dilukis di atas beberapa helai kertas yang dilekat tindih antara enam hingga lapan helai. Kemudiannya bentuk motif ini dipotong dan diasingkan. Lebar tiap-tiap batang mempulur kertas dibuat antara 0.5 cm dan 0.25 cm. Mempulur daripada kertas digunakan untuk membentuk motif tumbuhan dengan gaya organik. Corak yang terhasil daripada mempulur rotan sega bercorak banji atau corak kisi-kisi dan corak dangai atau catur.

Seterusnya kain dasar yang tebal tetapi lembut daripada jenis baldu yang berbulu halus dan berkilat ditegangkan pada pemidang kayu. Kain baldu yang selalu digunakan daripada warna gelap seperti merah pulasan, merah tua, ungu, hijau tua dan hitam. Pemidang kayu pula ada dua jenis iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki. Ukuran pemidang bergantung kepada rekabentuk yang diingini. Baldu yang ditegangkan pada pemidang disambungkan dengan kain putih yang diikatkan ke bingkai pemidang. Oleh itu baldu akan menjadi tegang.

Selepas itu benang emas akan ditindih dan diikat jahit oleh benang putih melalui jarum yang sedang matanya. Ukuran jarum menentukan ikatan supaya tidak meninggalkan kesan lubang pada kain dasar. Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur. Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kalimerentasbenang-benang emas haruslah disusun rapat-rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan dari atas. Dengan ini sulaman akan kelihatan lebih teratur dan kemas.

Tekatan dibuat sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman. Pada bahagian cantuman benang ataupun pada ruang yang tertinggal kosong ditutup dengan kertas emas atau labuci.













Jahitan tekat selayah







Penggunaan






Ciptaannya merupakan pakaian dan bahan kelengkapan dan wujud serta berkembang di istana. Alatan yang dihiasi dengan tekat emas merupakan alat istana. Beberapa rupabentuk tekat dicipta digunakan sebagai bahan atau alat seharian, juga pakaian rasmi sultan. Seni tekat telah berkembang kepada masyarakat luar istana dan dilakukan sebagai kraftangan sambilan. Malah kerana kerjanya yang harus berhati-hati dan memakan waktu yang lama untuk menyiapkannya, maka ia dibuat beransur-ansur apabila diperlukan. Misalnya bagi gadis-gadis yang telah bertunang akan menyediakannya sendiri secara berperingkat-peringkat alat-alat perkahwinannya dengan tekat, sebagai hiasan pelamin, sarung bantal, alas tempat tidur, kipas, kasut dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, fungsi tekat masih terbatas. Ia hanya digunakan untuk istiadat dan upacara tertentu. Ia digunakan sebagai kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam Quran dan seumpamanya. Di kalangan kerabat diraja, tekat merupakan pakaian kebesaran dan hiasan seharian. Penggunaannya di kalangan masyarakat biasa agak terbatas kerana bahan asasnya merupakan bahan mewah. Penciptaannnya juga memerlukan waktu yang lama dan hasilnya yang dekoratif serta indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan.









































Monday, October 4, 2010

SENI DALAM ISLAM

KONSEP SENI


Dari segi makna literal, seni ialah halus, indah atau permai. Dari segi istilah, seni ialah segala yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia. Dalam pengertian yang lebih padu, ia membawa nilai halus, indah, baik dan suci : berguna dan bermanfaat serta mempunyai fungsi dan nilai sosial.


Selain itu, keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia yang menikmati keindahan itu. Ia dapat dirasa, ditanggapi dan dihayati. Allah adalah sumber daya dan sumber pemikiran manusia manakala imaginasi dan keupayaan mencipta yang ada pada manusia adalah percikan dari daya kreatif Allah. Oleh itu, seni boleh dibahagikan kepada 2 :

a) Seni ciptaan Allah
b) Seni ciptaan manusia


Dengan memperakukan bahawa seni juga termasuk apa yang dicipta oleh Allah , ia tidak
bermakna kita mencampuradukkan seni ciptaan manusia dengan seni ciptaan Allah.

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN SENI


Kesenian Islam adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah
berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah S.W.T. Kesenian Islam memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam dikatakan telah berkembang sejak zaman Nabi Daud A.S dan puteranya Nabi Sulaiman A.S dan terus
berkembang di zaman Nabi Muhammad S.A.W dan di zaman selepas kewafatan Baginda
sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang
berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan
syara’.

CIRI-CIRI KESENIAN ISLAM


Seni dijadikan sebagai alat menyebarkan agama dan memperkukuhkan amal kebajikan dan
kebaikan dikalangan ummah. Hasil seni boleh menjadi faktor pendorong yang intensif bagi
mengingati dan memuji Allah. Daya seni yang dikurniakan oleh Allah adalah bertujuan untuk
menimbulkan keikhlasan dan kesedaran dalam diri manusia. Dengan bakat seni yang ada, para seniman muslim ternyata mampu menggunapakai pelbagai teknik, bentuk seni yang terbuka di tempat yang berlainan ke dalam daerah seni dan budaya Islam.


Kesenian Islam menyahut seruan sebilangan keperluan asas masyarakatnya. Ia juga
mengukuhkan persiapan individu untuk mematuhi ajaran Allah selaras dengan tujuan asas
penciptaan mereka. Pernyataan seni ibarat kaedah di antara zat spiritual dan rangka material. Oleh itu, menjadi tanggungjawab para seniman untuk menterjemahkan idea Islam ke dalam bahasa seni. Menurut perspektif Islam, daya kreatif seni adalah dorongan atau desakan yang diberikan oleh Allah yang perlu digunakan sebagai bantuan untuk memeriahkan kebesaran Allah.


Selain itu, seni juga menunjukkan seni kesatuan atau kesepaduan. Ia bermatlamat meletakkan mohor kesatuan Ilahi kepada kesetiaan perihal dan aktiviti manusia. Kesenian Islam malah semua kesenian tradisional memang sentiasa berorientasikan kepada ‘kegunaan’ : samada untuk spiritual seperti mihrat yang dihias dengan sinar larikan, seni dan ayat al-Quran mahupun pindahan ke atas objek kegunaan harian.


Kesenian Islam tidak berkisar di sekitar manusia individu, ia mempunyai orientasi sosial dan
berpaksikan kepada keperluan bersama manusia.

SIKAP ISLAM TERHADAP SENI


Pada dasarnya, sesuatu yang indah itu disukai oleh Allah kerana Dia zat yang Maha Indah dan menyukai yang indah. Islam mempunyai kriterianya yang tersendiri untuk dijadikan pengukur pedoman bagi menentukan halal atau haramnya sesuatu karya seni itu. Kriteria pertama ialah seni atau karya seni itu mestilah baik iaitu yang mempunyai cirri-cirinya yang khusus. Antaranya ialah tidak merosakkan budi pekerti yang mulia serta tidak melalaikan orang dari beribadat dan mengingati Allah. Kriteria penolakan pula ialah seni atau karya seni tersebut buruk iaitu boleh merosakkan moral, melalaikan diri daripada beribadat kepada Allah dan sekaligus melupakanNya.

JENIS-JENIS SENI


a) Seni suara
b) Seni rupa
c) Seni pakaian
d) Seni sastera