Wednesday, November 3, 2010

ANYAMAN

BULUH

Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Buluh yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan buluh sembilang. Bagi masyarakat peribumi di nusantara, buluh mempunyai seribu satu kegunaan iaitu sebagai baur kail atau joran, baur panah, bekas membakar lemang, bilah kipas, bilah serkap, galah, pagar, ranting dan batang payung, rakit, sangkak, seligi, sigai, sudip, tabung, tuar, tukil dan sebagainya. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.

Memproses Bahan

Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang dipilih dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Berikut adalah langkah memproses buluh :

Merendam

Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air asam dan air selut selama seminggu. Tetapi kini cara yang lebih mudah digunakan ialah buluh itu direbus bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan kandungan gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan lebih lama. Dari segi rupa pula, buluh yang telah direndam sedemikian dianggap lebih cantik dan menarik walaupun berbau masam.
Bakul buluh

Menyalai 

Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah, disepat (memisahkan kulit daripada isi batang pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi batang yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam anyaman. Bilah bahagian kulit buluh lebih keras dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan bilah isi. Oleh itu, bilah bahagian kulit lebih sesuai dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam pembuatan nyiru, misalnya, bilah kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.

Anyaman Rotan

Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.

Memproses Bahan

Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk. Rotan yang siap direbus, dijemur hingga kering. Seterusnya, rotan batang yang ingin dijadikan kerangka perabot diketam dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis. Sementara rotan yang mahu dijadikan bilah anyaman terus divarnis sebelum disepat atau dibelah.

Menghasilkan bakul



Anyaman Ribu-Ribu

Anyaman ribu-ribu Ribu -ribu adalah sejenis paku-pakis yang hidup liar terutama di kawasan belukar yang lembap. Terdapat beberapa jenis ribu-ribu iaitu ribu-ribu biasa, ribu-ribu besar/gajah dan ribu-ribu bukit/duduk atau akar sidin. Kegunaan utama ribu-ribu pada masa dahulu ialah sebagai bahan untuk dijadikan tali. Banyak rumah di Terengganu misalnya menggunakan tali ribu-ribu sebagai pengikat rabung kerana tali jenis ini tahan lama. Tetapi kini kegunaan ribu-ribu hampir terbatas kepada hasil kraftangan sahaja. Barang-barang yang diperbuat daripada ribu-ribu termasuk terendak, bekas tembakau, bekas sirih dan dompet.


Memproses Bahan



Ribu-ribu dipotong di bahagian pangkalnya. Cuma rakis utama yang diambil, yang lurus atau yang menjalar. Cabang-cabang yang tidak diperlukan, dipotong dengan pisau kecil. Kemudian ribu-ribu dibelah dua dan dikeringkan perlahan-lahan dengan menyidainya di tempat yang redup selama beberapa hari. Ini dilakukan untuk memastikan ribu-ribu tidak rapuh atau mudah patah. Menganyam ribu-ribu sama seperti menganyam buluh dan mengkuang. Untuk mengukuhkan anyaman, biasanya buluh atau rotan digunakan sebagai tulang atau kerangka barang yang dihasilkan. Motif-motif yang kerap digunakan dalam anyaman ribu-ribu ialah siku keluang, bentuk jaluran dan bentuk-bentuk geometri. Biasanya, barang-barang yang dianyam mengekalkan warna asli ribu-ribu. Bagaimanapun, perbezaan warna boleh dihasilkan iaitu dengan menyelang-nyelikan warna luar kulit yang lebih gelap iaitu coklat tua, dengan warna dalam kulit, coklat muda. Rata-rata, kraftangan ribu-ribu kini semakin terabai, kecuali di kalangan penduduk Sabah, terutama di sekitar Kampung Inukiran dan Kampung Tinanggol di daerah Kudat.
Menjalin dengan teliti







No comments:

Post a Comment